
Tajuk Buku: BERDAKWAH MELALUI PENULISAN EFEKTIF
Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah
Penerbit: Perniagaan Jahabersa;2008
Mukasurat: 106
Kandungan : 5 bahagian
Penulis adalah seorang yang agak prolifik dalam bidang penulisan buku dan artikel khasnya di dalam topik-topik Islam. Pertama sekali kukenali namanya melalui artikel yang disiarkan di dalam Majalah i.
Memang agak teruja membaca tulisan-tulisan beliau. Boleh dikatakan setiap isu yang cuba diutarakannya akan disandarkan kepada nas samada al-Quran atau al-hadis. Ini menjadikan tulisannya menjadi satu persembahan yang berotoriti yang membuka minat yang lebih fokus untuk meneliti dan membuat analisis.
Buku ini adalah satu panduan kepada sesiapa juga yang berminat untuk melibatkan diri dalam dunia dakwah menggunakan medium tulisan.
Penulis banyak berkongsi pengalamannya dalam mengaplikasikan kaedah dan teknik penulisan yang efektif sesuai dengan khalayak pembaca. Persembahan yang menarik terutama yang berkaitan dengan tulisan-tulisan yang mahu diangkat menjadi agen dakwah mestilah diberikan perhatian serius.
Penyampaian yang hambar atau kaedah yang terlalu stereo-tpye sifatnya kurang memberikan daya tarikan kepada pembaca atau menghilangkan minat dan penghayatan. Disinilah penulis memberikan penekanan kepada aspek-aspek penulisan secara bersepadu dengan gaya dan teknik yang menarik meliputi soal-soal yang kelihatannya remeh tetapi sebenarnya sangat penting seperti kesalahan ejaan, penggunaan tanda-tanda bacaan, spacing, font dan seumpamanya. Apatah lagi aspek-aspek yang lebih asas seperti mesej, isi, gaya penulisan, nota kaki dan rujukan yang tidak boleh sama sekali diabaikan.
Syarat-syarat untuk menjadi penulis sekaligus pendakwah ditandai dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Niat yang salah bersalut berkepentingan tertentu apatah lagi berhajatkan matlamat dan tujuan dunia serta material tidak akan membawa hasil penulisan itu kemana-mana.
Persekitaran yang kondusif dengan kelengkapan asas untuk memulakan kerja-kerja penulisan seperti pemilihan komputer, printer, software dan lain-lain turut disentuh; termasuk ruang tempat bekerja dan kesesuaian tempat dan masa.
Persediaan awal sebelum , sewaktu dan selepas menulis telah diperincikan dengan huraian yang jelas dan mantap. Proses membuat semakan dan pemilihan syarikat penerbitan juga dinyatakan supaya pembaca dapat mengenalpasti langkah-langkah yang betul untuk tujuan penerbitan karya atau sekurang-kurangnya memperolehi gambaran idea yang berkaitan untuk mempermudahkan kerja-kerja penghasilan karya penulisan yang diingini.
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menulis dan menghasilkan karya. Ianya memerlukan kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Selain bakat menulis, bahan atau isi perlulah relevan dan mencabar minda pembaca ataupun bersifat informative; menarik, popular dan kompetatif. Komitmen dan kesungguhan untuk menghasilkan produk penulisan mestilah berterusan disamping memohon kekuatan terus dari Allah untuk menjayakannya.
Buku ini boleh dijadikan antara rujukan yang penting bagi penulis-penulis yang berhasrat berjinak-jinak dalam lapangan penulisan khususnya dalam lapangan dakwah Islamiyyah.
No comments:
Post a Comment