Sunday, August 9, 2009

Muhasabah Diri

Marhaban biki ya Ramadhan 1430H.

Usiaku telah mencecah 47. Masih terasa kosongnya dada. Duduk-duduk mencongak amal sungguh seperti menampi hampa; isinya dimana? Mana bekalan yang telah kusimpan buat menjalani sebuah safar yang jauh menuju penghidupan yang abadi.

Apalah sangatnya amal ketaatan yang kuperbuat kini berbanding segala nikmat yang dapat kukecapi?! Pencarian ini seperti menemui diriku yang kerdil dan hina. Lemah dan sukar buatku melangkah dalam ruang muhasabah yang seperti memenjarakan.

Ya Rabb, izinkanlah hambamu kembali menyantuni rangkap-rangkap taubat memohon rahimMu buat mencari curah maghfirahMu yang maha luas itu – moga jelaga dan karat yang lama berkapuk bisa permisi memberi harapan pada nur percikan taufik dan hidayahMu singgah satu kemudian satu dan satu lagi kehatiku…

Bagaimana mahu bertemu alam yang memerlukan seluruh pertanggungjawaban secara mufrad – individu. Sendirian di alam barzakh ketika ditinggalkan berseorangan tanpa teman – pada siapa lagi nak kumohonkan bantuan dan pertolongan! Ketika bimbang itu menerjah lagi-aku menjadi gementar sekali!


Tuhan, biarlah aku pasrah melakukan ketaatan lewat nikmat yang Kau anugerahkan kini. Mendengar azab yang menanti, batinku menggelupur ngeri. Janganlah hendaknya aku tewas dan kalah sehingga tiada sinar kasih sayangMu buatku, Tuhan.

Biarlah aku perit melakukan amal ini disini sehingga Kau dapat meredaiku disana.