Sunday, July 26, 2009

Robbi Yasir wala Tu'assir

3.10 petang. Keluar dari tol Alor Setar Utara. Isteriku mengomel kecil. Dia akan bermesyuarat jam 4.00 petang. Sempat ke sampai! Aku cuba memecut tenang sehingga exit tol Sungai layar tepat 3.40 petang. Isyarat trafik yang merah sepanjang jalan di SP tambah merunsingkannya.

Selalunya dalam kes sebegini aku diam saja. Memang perangaiku begitu. Sepatah dua tambahan perkataan yang terkadang mengguris dalam detik-detik cemas begitu bisa mengundang ketegangan. Syaitan sudah menanti-nanti utuk menafaaatkan peluang keemasan. Biasanya aku baca dihati ‘ robbi yassir wala tu ‘assir’ berulang-ulang kali.

Sampai ke Swiss Inn Hotel 3.55 petang. Terlihat teman-temannya yang juga peserta kursus masih mundar-mandir berjalan ke pintu masuk hotel. Detik cemas yang diserahkan kepada Tuhan buat menentukan keputusan pasti tidak dihampakanNya. Subhanallah walhamdulillah!!

Kembali memandu pulang dengan ngantuk dan sedikit keletihan. Singgah solat di R&R Gurun. Sepanjang jalan pulang seperti terlayang. Sesekali mata terpejam namun pemanduan masih stabil dan terkawal. Alhamdulillah tiba ke ofis 4.55 petang. Masuk ke surau terus solat Asar.

Saturday, July 25, 2009

Program 3M di Masjid al-Bukhary

Hari ini jadi MC lagi. Program Munajat & Motivasi anak-anak Bernas dan petani di tingkat bawah Masjid al-Bukhary, Jalan Langgar.

Mula dengan Solat Dhuha diikuti dengan solat Hajat. Kemudiannya bacaan Yasin. Pembimbingnya Ustaz Roslan Abd. Kadir - wakil Imam.

Lepas tu Motivasi oleh En. Sazali Din dari Metafora Consultancy. Ustaz Farok yang dijadualkan hadir, keuzuran.

Aku cuba merumuskan isi motivasi (yang agak hambar itu) dengan 5D.
Dayausaha - (kena pulun sungguh-sungguh)
Dayatahan - (kena jaga diri/mental/spiritual)
Disiplin - (kawalan diri/masa)
Diskusi - (bincang dgn. kawan, guru, ibubapa dll)
Doa - (solat & permohonan dengan Ilahi)

Jamuan makan dikantin. Majis 3M (Munajat/Motivasi/Makan) berakhir 12.00 tengahari.
* * * * * * * *

Semalam jadi MC Ceramah Israk & Mikraj di Surau oleh Ustaz Roslin Salleh. Tak sangka ramai jemaah yang hadir. Alhamdulillah!

Kenduri - makan nasi dengan kambing pulak tu! Depa masak kepala kambing. Sempat la juga merasa otak kambing - wow! boleh tahan jugak sedapnya...

Pagi tadi dan pagi kelmarin - ganti Dr Malek bagi kuliah Subuh.

Saturday, July 11, 2009

Noktah baru dalam perjalananku

Satu rekod baru telah tercipta jika boleh ianya disebutkan sebagai rekod. Namun ianya lebih kepada satu pengalaman baru yang pertama kali terjadi.
Tuan Imam Masjid Hutan Kampong, Prof. Madya Dr. Hj. Abdullah Abdul Ghani telah memberi laluan dan lampu hijau kepadaku untuk menyampaikan khutbah di mimbar Jumaat untuk menggantikan tempat beliau yang terpaksa memenuhi program lain. Pengalaman membaca khutbah di masjid Hutan Kampong memang ada. Namun peristiwa itu tidak dapat kuingati. Rasanya sudah berlalu beberapa tahun. Itulah pengalaman pertamaku beraksi sebagai khatib di atas mimbar masjid. Dengan persediaan yang kurang mantap, rasanya penyampaian khutbahku ketika itu agak pendek yang hambar. Tajuknya pun gagal untukku ingatkan kembali. Rasanya topik yang kesentuh ada kaitan dengan tarbiyyah untuk generasi muda.
10 Julai 2009 bersamaan 17 Rejab 1430H. Kelmarin. Lebih 3 jam juga disebelah paginya aku mengadap komputer menyiapkan teks khutbah. Memanglah tajuknya telah kusetkan dengan beberapa isi penting sebagai panduan beberapa hari sebelumnya. Jadi, dengan berpandukan satu dua buku rujukan, kuketuk saja keyboard dengan siratan idea yang ada. Akhirnya siap juga lapan mukasurat dengan tajuk yang terfokas kepada penyingkapan tamadun Islam dengan penekanan kepada halatuju dan tanggungjawab generasi kini dan generasi muda yang bakal mewarisi. Kulengkapkan kemudiannya dengan muqaddimah khutbah,nas-nas al-Quran dan hadis serta teks khutbah kedua.
Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T. penyampaian khutbah di mimbar masjid Hutan Kampong ini terasa meyakinkan dan mantap. Sebagaimana beberapa khutbah-khutbah lain yang pernah kubaca lewat perayaan Aidil-Fitr atau Aidil Adha di Surau Kg. Tok Jalai, Taman Cahaya atau pun di Markas Kg. Berala, Kati, Kuala Kangsar. Ada juga waktu-waktu,terasa juga kecut dan debarnya untuk berhadapan dengan jemaah yang ratusan orang bilangannya. Apatah lagi Masjid Hutan Kampong ini menjadi perhatian pelbagai pihak. Pemimpin politik, pejabat agama, special branch dll. Bukan sedikit pula lulusan-lulusan agama dari Mesir dan pondok-pondok. Tidak kurang juga penduduk asal yang amat peka dengan khatib yang beraksi di mimbar!
Turun dari mimbar, pertama kali pula dalam hidupku diamanahkan mengimamkan Solat Jumaat! Subhanallah... di level manakah aku kini? Hidupku telah ditakdirkan Allah menjalani jalan-jalan yang terfokas kepada kegiatan agama yang lebih luas dan rencam. Mungkin ada kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan kepimpinan-kepimpinan tertentu. Jadi halatujuku masa depan harus lebih terfokas kepada urusan-urusan berkenaan yang sememangnya juga dapat mengikat dan membimbingku menjadi 'hamba' bagi Allah!
Yang Allah bimbinglah hambamu ini, jadikanlah hamba seorang yang boleh menyumbang sesuatu kepada kelompok hamba dan jadikanlah hamba seorang yang ikhlas dan tawadhuk..Amin!!

Sunday, July 5, 2009

Kembali mengingatkan diri

Sudah begitu lama tidak update blog ni. Masa memang ada. Sibuk bukan alasan. Aku sebenarnya mudah mengalah pada keadaan. Jarang boleh melakukan sesuatu dengan istiqamah.

Mengintai masa yang berlalu saban hari dengan aktiviti yang semakin terikat, aku seperti penat dan lelah. Namun kehidupan tidak boleh ditundukkan dengan kepenatan dan kelelahan. Hidup tetap memerlukan penerusan selagi nafas galak berombak. Cuma bagaimana mahu melakarkan pelan buat meneruskan hidup secara lebih memberi makna dan nilai; itu yang selalu sukar dimanafaatkan. Usia yang semakin laju menuju pernoktahan mendambakan kekuatan yang seharusnya lebih untuk menyediakan bekalan. Perubahan jika lambat berlaku sewajibnya perlu dipaksakan!