Saturday, July 11, 2009

Noktah baru dalam perjalananku

Satu rekod baru telah tercipta jika boleh ianya disebutkan sebagai rekod. Namun ianya lebih kepada satu pengalaman baru yang pertama kali terjadi.
Tuan Imam Masjid Hutan Kampong, Prof. Madya Dr. Hj. Abdullah Abdul Ghani telah memberi laluan dan lampu hijau kepadaku untuk menyampaikan khutbah di mimbar Jumaat untuk menggantikan tempat beliau yang terpaksa memenuhi program lain. Pengalaman membaca khutbah di masjid Hutan Kampong memang ada. Namun peristiwa itu tidak dapat kuingati. Rasanya sudah berlalu beberapa tahun. Itulah pengalaman pertamaku beraksi sebagai khatib di atas mimbar masjid. Dengan persediaan yang kurang mantap, rasanya penyampaian khutbahku ketika itu agak pendek yang hambar. Tajuknya pun gagal untukku ingatkan kembali. Rasanya topik yang kesentuh ada kaitan dengan tarbiyyah untuk generasi muda.
10 Julai 2009 bersamaan 17 Rejab 1430H. Kelmarin. Lebih 3 jam juga disebelah paginya aku mengadap komputer menyiapkan teks khutbah. Memanglah tajuknya telah kusetkan dengan beberapa isi penting sebagai panduan beberapa hari sebelumnya. Jadi, dengan berpandukan satu dua buku rujukan, kuketuk saja keyboard dengan siratan idea yang ada. Akhirnya siap juga lapan mukasurat dengan tajuk yang terfokas kepada penyingkapan tamadun Islam dengan penekanan kepada halatuju dan tanggungjawab generasi kini dan generasi muda yang bakal mewarisi. Kulengkapkan kemudiannya dengan muqaddimah khutbah,nas-nas al-Quran dan hadis serta teks khutbah kedua.
Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T. penyampaian khutbah di mimbar masjid Hutan Kampong ini terasa meyakinkan dan mantap. Sebagaimana beberapa khutbah-khutbah lain yang pernah kubaca lewat perayaan Aidil-Fitr atau Aidil Adha di Surau Kg. Tok Jalai, Taman Cahaya atau pun di Markas Kg. Berala, Kati, Kuala Kangsar. Ada juga waktu-waktu,terasa juga kecut dan debarnya untuk berhadapan dengan jemaah yang ratusan orang bilangannya. Apatah lagi Masjid Hutan Kampong ini menjadi perhatian pelbagai pihak. Pemimpin politik, pejabat agama, special branch dll. Bukan sedikit pula lulusan-lulusan agama dari Mesir dan pondok-pondok. Tidak kurang juga penduduk asal yang amat peka dengan khatib yang beraksi di mimbar!
Turun dari mimbar, pertama kali pula dalam hidupku diamanahkan mengimamkan Solat Jumaat! Subhanallah... di level manakah aku kini? Hidupku telah ditakdirkan Allah menjalani jalan-jalan yang terfokas kepada kegiatan agama yang lebih luas dan rencam. Mungkin ada kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan kepimpinan-kepimpinan tertentu. Jadi halatujuku masa depan harus lebih terfokas kepada urusan-urusan berkenaan yang sememangnya juga dapat mengikat dan membimbingku menjadi 'hamba' bagi Allah!
Yang Allah bimbinglah hambamu ini, jadikanlah hamba seorang yang boleh menyumbang sesuatu kepada kelompok hamba dan jadikanlah hamba seorang yang ikhlas dan tawadhuk..Amin!!

No comments:

Post a Comment