Tuesday, June 14, 2011

Subhanallah


Maha Suci Dia Yang Memulakan Penciptaan tiap sesuatu!

Hidup kembali ber-2

Dulu sorang jadi berdua.
Tambah anak berenam jadinya.
Keluar mengaji duduk asrama.
6 - 4 kembali 2.

Pakat dok tengok hang aku
menguap kerap pun lena tak mahu
dok lip pok lip pok tergaru-garu
tempat tidox pun dah tak menentu

Makan pun lebih kurang saja
asal kenyang sikit-sikit jadila
order makan pikiax lama-lama
Menu dah hilang dalam kepala

Macam tulah putaran kehidupan
Sapa pun akan berhadapan
Pakat jaga hati dan perasaan
Sebab mudah sangat tertekan

Pandai-pandailah isi masa
Biar padat dengan agenda
Masa lapang buatlah apa-apa
Biar hidup ada makna

Friday, April 22, 2011

LIMA DEKAD USIAKU

Ahad: 13 Jamadil-Awwal 1432H bersamaan 17 April 2011M.

Mengikut perhitungan tahun Hijrah, hari ini usiaku telah genap 50 tahun. Berbeza dengan tahun masihi, usia itu akan tiba pada 12 Oktober 2012 nanti. Perbezaannya lebih-kurang 1 ½ tahun. (Info yang pernah kubaca ialah setiap 33 tahun usia mengikut tahun hijrah ianya bersamaaan dengan 32 tahun masihi).

Biar apapun, nikmat usia anugerah Ilahi yang sampai ke waktu ini telah menjadikan aku begitu bersyukur kepadaNya. RahmatNya terlalu agung.

Tidak banyak sangat ujian dan masalah berat yang telah kutempuhi sepanjang tempoh itu. Masalah kesihatan pun tiada yang terlalu kronik. Begitu juga dengan hal-hal kehidupan berkeluarga termasuklah isu anak-anak. Jika ada pun masalah yang timbul, ada saja jalan penyelesaian yang diilhamkan Ilahi sehingga ianya berakhir dengan mudah dan selamat. Seperti semuanya diprogramkankanNya dengan mendapat laluan selesa terkadang bergaya. Alhamdulillah!

Meraikan sambutan jubli emas setelah menjangkau lima dekad usiaku rasanya bukan sesuatu yang diperlukan. Rasanya segelintir saja insan yang berminat untuk meraikan harijadinya mengikut perkiraan tahun hijrah. Lagipun, aku bukanlah teruja sangat untuk event yang sebegitu.

Biar aku sendirian meraikan hari ulanglahirku ke-50 mengikut tahun hijrah ini dengan caraku sendiri. Biar aku bermonolog; atau berdialog dengan hatiku. Biar kuselam sedalam-dalamnya mencari diriku. Kerana kata alim ulama’ memahami dan mengenali diri yang sebenar akan membuka jalan untuk mengenal Tuhan.. Biarkan aku senyum sendirian; atau kesal dan sedih berseorangan. Lebih tepat lagi istilah yang dipakai dalam ilmu tasawuf ialah muhasabah diri.

Bukannya berapa lama sangat lagi pun aku singgah di dunia yang sementara ini. Aku dan semua yang hidup akan pasti pulang. Dan biarlah kepulangan itu diarak bersama bekalan yang diredaiNya. Sebagai hamba yang daif dan hina, harapan yang ada cuma permohonan moga Allah menerima segala amal bakti yang termampu kulakukan, mengampunkan segala keonaranku dan meredai seluruh perjalanan menuju JannahNya…

Sememangnya tahun ini aku menanti tarikh 13 Jamadil Awwal itu. Aku ingin membina sesuatu yang baru dalam hidupku. Terkadang ada bermacam hajat dan kemahuan yang dirancang namun ianya berlalu bersama usia yang semakin meningkat tanpa banyak perubahan. Tapi biarlah usia lima puluh yang dianugerah Ilahi ini menjadi satu paksi untuk berhijrah secara lebih sistematik dan efektif.

Ku azamkan semula untuk solat berjemaah secara konsisten. Biar dimana aku berada. Sepertimana yang pernah beberapa waktu dulu aku usahakan. Paling tidak pun biarlah solat di awal waktu. Tidak dihujung-hujungnya.

Alhamdulillah - Bacaan al-Quran telah berjaya menjadi amalan yang istiqamah. Biar dalam payah sekalipun, aku cuba juga untuk memastikan bacaan itu dilaksanakan mengikut jadual yang telah diatur dengan penuh anjal mengikut keupayaanku.
Tahun 1432H telah kusasarkan untuk khatam sebanyak tujuh kali. Setakat ini sehingga berakhir Rabiul-akhir semuanya berjalan lancar. Ya Allah, bantulah hambamu ini untuk terus beristiqamah dengan tilawah al-Quran sehingga tercapai azam dan cita-citaku. Allahumma Amin.

Begitu juga dengan hafazan al-Quran. Telahku lalui masa yang panjang dalam aktiviti ini. Bersendirian. Sejak usia belasan tahun. Alhamdullillah dengan izinNya – sedikit demi sedikit – ianya semakin maju dan positif. Mungkin aku memerlukaan satu tulisan berasingan untuk mengekspressi topik ini yang kurasakan begitu menarik untuk dikongsikan dengan sesesiapa yang sealiran. Anugerah Ilahi yang sememangnya tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Terlalu istimewa ! Subhanallah wal ham dulillah.

Kumulakan hafazanku dalam tahun baru ini dengan dengan Surah at-Tahrim(66) dan sekarang Surah at-Talaq (65) yang masih belum tamat dan insyaAllah selepas ini Surah at-Taghabun (64) pula. Dalam juzuk ke-28 yang mengandungi sembilan surah ini, tiga surah telahpun kuhafal sebelum ini – Surah as-Saaf (61), Surah al-Jumuat (62) dan Surah al-Munafiqun (63). Bermakna tiga surah lagi yang menjadi keazamanku untuk kuhafalkan sebelum berakhir 1432H [Surah al-Mujadalah (58), al-Hasyr (59) dan al-Mumtahanah (60)].

Secara purata keseluruhan, hafazanku telah pun menjangkau lebih-kurang lima atau enam juzuk. Apakah doaku di Mekah akan menjadi reality – bilamana antara permohonanku disana adalah untuk menghafal keseluruhan al-Quran? InsyaAllah – biiznillah…wa haza min fadli robbi…

* * * * * * * * * * * * *

Pagi 17 April 2011 ini jugalah aku dikejutkan dengan panggilan Major (B) Hj Ishak tentang kematian En. Rashid, jiran setaman. Berusia 60 tahun. Meninggal dalam tidur. Pagi itu, kudoakan rohnya supaya dirahmati Ilahi bersama teman-rakan.

Mencuci wajahnya dengan air bersih dari tuala perahan. Memgampu kepalanya dengan cermat untuk diangkat keluar…tiga malam berikutnya sama-sama bertahlil dirumahnya mendoakan rohnya diterima Allah disisiNya sebagai hamba yang diredai, InsyaAllah. En Rashid adalah jemaah surau yang cukup konsisten diakhir-akhir hayatnya…demikianlah takdir Allah mendahului rencana manusia…

* * * * * * * * * * * *

Selasa 19 April 2011. Kak Pah forward e-mail ….namaku naik untuk iring peserta umrah…ALHAMDULILLAH…rezki yang tak disangka-sangka….tapi aku diam saja tanpa kongsi berita itu dengan sesiapapun kecuali isteriku disebelah petangnya…sebab perlu kepada arahan yang lebih official. Manalah tahu kalau-kalau tidak betul….

* * * * * * * * * * * *
Rabu 20 April 2011. Cuti. Sebab membawa Farhana dan kawan-kawannya ke Sik untuk ziarahi kawan mereka yang meninggal disana. Puan Rokiah talipon untuk sahkan pemergianku ke tanah suci pada 5 Mei 2011.
* * * * * * * * * * * *
Khamis 21 April 2011. Ke Imigresen untuk buat paspot antarabangsa dan kemudiannya ke Klinik Dr Fauzi untuk suntikan. Kemudiannya ke ofis dan serah semua dokumen kepada Puan Rokiah.

Thursday, April 14, 2011

12 April 2011 - Mawardi oh Mawardi!

Masuk ke dalam kereta selepas keluar dari Johan Mart di Bandar Darulaman petang itu, Halijah bersuara “ Adi nak balik, nak ambil laptop…ada assingment dia nak siapkan. Dia baru jer talipon Farhana…”. Aku diam saja.

Baru sangat Mawardi pulang. Rasanya, baru dua hari lepas. Kalau dia perlu pulang pun untuk sesuatu urusan penting bukanlah menimbulkan apa-apa masalah. Arau dengan Alor Setar cuma mengambil masa tidak sampai pun satu jam.

Sampai ke rumah sudah masuk Maghrib. Bergegas untuk solat. Agak terlewat. Selepas Maghrib, Halijah mengingatkan tentang janji hendak ke sekolahnya menghantar komputer. Aku mengiyakan saja.

Dalam perjalanan ke SMKSB, Halijah beberapa kali cuba menghubungi Mawardi namun gagal. Handphone tidak diangkat. Mulutnya sesekali mengomel juga. Apa halnya dengan anak lelaki sulung tu. Sampai sudah berkali-kali dihubungi namun tiada respon. Ada kelainan rentak suaranya. Yang pastinya dia kelihatan risau dan bimbang.

Hampir dua jam juga berada dalam bilik kaunseling SMKSB. Membuat ubahsuai sambungan dan pemasangan komputer dalam bilik yang kecil itu. Sesekali terasa juga rimasnya. Tapi apa nak dikatakan; itulah lokasi harian isteriku mencari rezeki.

Pukul 11 malam lebih baru bertolak balik. Halijah cuba lagi berkali-kali menghubungi Mawardi. Masih gagal. Riak keresahan diwajahnya ketara. Gema suaranya juga berubah melontarkan rasa bimbang yang dalam.

Singgah seketika di Restoran Jalan Langgar untuk membasahi tekak dan makan ringan-ringan. Mawardi cuba dihubungi lagi. Masih tiada jawapan.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Kali  ini Halijah mencuba pilihan pelan talian hayat. Dia menghubungi Ehsan, kawan sebilik Ahmad Mawardi.

Keadaan semakin sukar ketika Ehsan memberitahu bahawa dia juga tidak tahu dimana Mawardi berada. Katanya, motosikal Mawardi ada dirumah sewa. Difahamkan kepadanya bahawa Mawardi ke library untuk study. Dengan siapa dia keluar?

Pertolongan Ehsan diminta untuk mencari dan bertanya khabar. Manalah tahu kawan-kawan lain boleh memberi info. Atau mungkin dia ke rumah ‘tok’ atau keluarga angkatnya yang berada tidak berapa jauh dari situ. Mungkin juga dia ke Kangar bersama kawan-kawan Rakan Muda di sana.

Kami mengambil keputusan untuk pergi ke Arau. Apatah lagi kemudiannya Ehsan yang dihubungi tetap memberikan jawapan yang tidak berubah. Teman rakan Mawardi yang dihubungi semuanya tidak tahu dimana dia berada.

Dalam rumah sewa termasuk dalam bilik air dicari – tiada. Termasuk juga keluarga angkatnya. Semua saling hubung-menghubungi namun masih gagal dikesan. Kerisauan semakin memuncak.

Terlintas pelbagai andaian dikepalaku. Tambahan lagilah isteriku. Kemana Ahmad Mawardi ni? Siapa yang membawanya keluar? Kemana dia pergi? Apa pasal handphone tidak berjawab? Tertidur kat mana-mana ke? Masih di library? Terjatuh ? Dipukul orang?…..

Masuk ke rumah. Tukar baju. Teringat laptop yang nak digunakan Mawardi, kuminta dibawa sekali. Keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Sudah tengah malam pula – 12.30 lebih kurang. Farhana dan kawannya Ira yang datang bertandang di rumah, turut serta.

Dalam kereta , masig-masing lebih banyak berdiam diri. Melayan perasaan yang bercelaru. Mungkin juga igauan yang bukan-bukan. Aku banyakkan doa dan selawat memohon bantuan dan pertolongan Allah S.W.T untuk membantu mempermudahkan situasi. Cuma Halijah yang tidak pernah putus asa cuba menghubungi sehingga kehabisan kredit! Bimbang dan resah bersandiwara dijiwa.

Sampai ke Arau. Halijah mengetuk pintu rumah sewanya. Tiada respon. Lampu masih terang melalui tingkap cermin nako dibahagian hadapan rumah. Rumah sewa disebelah-menyebelah masih bising dengan suara anak-anak muda student ITM. Masih belum tidur.

Ehsan cuba dihubungi lagi. Rupanya, dia diluar masih setia mencari sahabatnya yang hilang dan menjadi ‘misteri’ malam itu. ‘Baguih budak ni!’ Hatiku berkata-kata.

Kami menunggu saja di luar. Ada kerusi menunggu di hadapan beberapa rumah sewa di situ. Tidak berapaa lama Ehsan sampai dengan motosikalnya. Beritanya, sama saja. Mawardi tidak diketahui kemana perginya. Tidak diketahui juga apa jadi dengan dirinya.

Kawan-kawan kenalannya keluar bersalaman. Masing-masing tidak berani bersuara. Cuma menjawab sepatah dua sewaktu kami bertanya. Mereka seperti memahami perasaan kami sebagai ibubapa dalam suasana sebegitu. Sebuah kereta, masuk ke situ. Keluar bersalaman. Diam juga. Difahamkan kemudiannya bahawa dia anak somebody juga kat Perlis -kenalan Ahmad Mawardi dalam Kelab Rakan Muda.

Kami perhatikan kelibat sebuah kereta memperlahankan kelajuannya dijalan luar – berhenti seketika kemudian memecut semula. “Tu macam kereka Ika” kata Ehsan. Kemudiannya dia agak segan juga. Seperti tersilap dengan sampukan tadi.

Kami sekeluarga tahu – Ika tu ex-girlfriend Mawardi. Takkanlah Mawardi ada kat dalam kereta tu??!! Katanya dah putus hubungan!  Makin bercelaru. Beberapa ketika, kereta tadi berpatah balik. Seperti cuba menutup lampu dihadapan kami dan  terus berlalu. Siapa sebenarnya di dalam kereta itu dan apa tujuannya, entahlah! Kalau betul itu Ika – takkanlah tengah-tengah malam buta begitu anak dara masih diluar?

“Lagi sejam tak jumpa, kita buat report”, aku buat keputusan. Entah sedar entah tidak. Tidak menentu lagi apa yang sepatutnya dilakukan. Semua yang ada disitu tidak bersuara.  Ehsan meminta diri untuk keluar sebentar. Dia memecut motosikalnya entah kemana….

1.45 pagi. Sebuah motosikal masuk dengan seorang pembonceng. “Tu, abang mak!!” jerit Farhana. Kelihatan Mawardi membonceng dibelakang. Keadaan tegang menjadi kendur secara tiba-tiba.

“Abang pi mana ni…..
abang tau dak, semua orang susah dengan abang ……” ibunya bersuara tinggi memulakan tembakan kemarahan.

“Abang pi tengok bola dengan kawan abang kat depan tu saja ….” Mawardi cuba pertahankan diri.

“ Abang tau dak orang talipon abang berpuluh kali sampai habis kredit, pasai apa tak angkat???!!!”. “ Abang tetinggai kat rumah kawan abang” jawab Mawardi antara takut dan malu.

“Abang memang tak bertanggung-jawab……………” Halijah melepaskan geram bertubi-tubi. Begitulah perangai isteriku, kalau marah tu tidak boleh bertangguh-tangguh lagi. 

Teman rakan Mawardi perlahan-lahan meninggalkan tempat itu. Mungkin tidak mahu memalukan Mawardi sangat.

“Jom, kita balik” ajak Halijah dalam emosi yang bercampur. Marah, kecewa, geram. Kami berjalan kekereta. Mawardi mengekori. Entah apa-apa lagi semburan ibu pada anak sulungnya itu. “Ya lah, abang mengaku salah. Abang silap” Mawardi cuba mencari noktah.

Kami keluar meninggalkan Mawardi selepas meyerahkan laptop kepadanya. Sudah lebih pukul 2 pagi waktu itu. Dalam perjalanan pulang Mawardi menalipon ibunya, menyatakan rasa kesal atas tindakannya. Dalam suhu kepanasan yang makin menurun, Halijah lebih banyak menasihati sahaja supaya tidak berlaku lagi peristiwa semacam malam itu. Ia telah menyusahkan ramai orang!

Sampai dirumah lebih kurang jam 3 pagi. Halijah ke dapur membersihkan ikan dan ayam yang dibeli dari pasar malam Kepala Batas awal malam tadi.

Tidak tahulah pula pukul berapa mata terlelap….



Wednesday, March 30, 2011

Selamat Hadi Jadi, isteriku!

30 Mac 2011. Selamat Hari Lahir buat isteriku, Halijah. Abang kalungkan ucapan dengan aura kasih-sayang untuk hari ulang lahirmu yang telah tiba ke bilangan 44.

Angka 44. Satu angka biasa di dalam culture Melayu yang sesekali kelihatan ‘bertuah’ dan ‘menarik’ namun ianya tidak memberi apa-apa kesan walau diubah-alihkan. Satu bilangan yang boleh ditafsirkan sebagai ‘kental dan mantap’ – sinonim dengan pengisian makna kehidupan yang telah digabung-jalinkan dengan pelbagai kisah & pengalaman yang dikutip dan disisip disepanjang perjalanan menyantuni denyut nafas anugerah Ilahi.

Alhamdulillah! Allah S.W.T. masih lagi menganugerahkan rahmatNya sehingga kita masih lagi hidup bersama. Merasai nikmat Tuhan yang tidak terucapkan. Anugerah anak-anak dan sedikit-sebanyak harta yang setakat ini rasanya mencukupi dan memadai. Mudah-mudahan laluan untuk terus bersama akan diizin dan dipermudahkan Ilahi. InsyaAllah…

Masa merentas pantas. Detik yang berlalu tetap pamit tanpa berpaling. Dalam kepayahan kita redah juga tribulasi kehidupan yang disaluti perjalanan rentak masa yang merakamkan aneka cerita dan peristiwa demi menjuarai persaingan merebut survivaliti.

Ya, rasanya sampai saat ini kita telah banyak membina kejayaan itu dengan izinNya. Kita telah menjana usaha yang wajar untuk berdiri sama tinggi dengan orang lain juga. Bukankah kita memulakannya bersama dari noktah ‘kosong’. Dengan pemberian Allah kita mula berubah dan berganjak kepada satu paradigma yang lebih baik dan kian sempurna.

Tuesday, March 29, 2011

Petang 28/3/2011 - Hujan & Angin Kencang

Dalam lif turun untuk pulang petang kelmarin, masuk ditingkat 2 seorang staf Souq al-Bukhary yang dikenali. “Hujan ka?” sengaja aku bersuara sekadar memulakan perbualan. “Hujan! Tadi angin kuat bukan main!” dia menjawab ringkas. Kami sama-sama keluar di bassment kemudiannya.

Keluar dari bangunan Souq, langit agak cerah tapi masih renyai-renyai. Angin terasa masih bertiup meskipun tidak begitu kuat. Sepanjang perjalanan pulang itu, jalanraya dipenuhi daun-daun dan dan ranting-ranting kayu. Bunga-bunga pokok juga. Bersepah.

Ada pokok yang patah. Serpihan ranting kayu yang sederhana dibawa angin ketengah jalanraya. Angin memang kuat rasanya. Semua yang dapat diperhatikan menjadi bukti. Bimbang menyelinap masuk ke hati.

Angin masih bertiup. Sesekali terasa kuat juga bila melihat kesan dari pokok-pokok yang kuat bergoncang. Daun-daun nyiur kelihatan berhimpun ke satu hala sahaja. Daun-daun kayu rata-ratanya membuai-buai tidak menentu. Bergerak atas bawah kekiri dan kanan. Angin barat itu terasa sekali kelajuannya.

Memandu dalam keadaan begitu menjadikan aku lebih berhati-bati. Sampai ke kawasan yang berpokok tinggi teruatamanya, mataku menjadi liar memerhatikan kelibat dan reaksi kemungkinan yang boleh berlaku. Manalah tahu ada dahan pokok yang tersekah. Ada ranting besar yang patah. Dalam keadaan sebegitu, tiada yang mustahil boleh berlaku. Bahaya jangan dicari. Mengelak mudarat adalah lebih utama selagi ianya boleh diusahakan.

Alhamdulillah, sebaik saja sampai di rumah, hujan menjadi semakin lebat. Hujan bersama angin kuat tiba-tiba saja menyerang. Tidaklah begitu ganas tapi kencang sangat.

Aku masuk ke tempat letak kereta dan mengambil masa beberapa ketika untuk berada di dalam kereta. Sengaja memerhatikan hujan dan angin kuat yang berlaku di depan mata itu.

Bumbong zink dihujung sebelah atas kiri tempat letak kereta itu berhempas naik turun dengan kuatnya. Menimbulkan kesan bunyi yang kuat dan menakutkan. Angin kuat masih bertiup kencang. Pokok-pokok yang ditiup angin kencang semacam rukuk membengkok ke timur. Bunyi hujan dan angin yang bergesel dengan pokok dan pelbagai objek lain menimbulkan efek irama yang menakutkan.

Disebelah luar rumah yang tidak berdinding ditempiasi air hujan. Terlintas dihati kalaulah tempat letak kereta ini diangkat angin. Atau kereta dihempap bumbong kayu dan zink. Cemas.

Keluar dari kereta. Hujan tempias dan sedikit membasahi tubuhku. Teringat pesan tok-tok guru. Azan sewaktu angin kencang atau kebakaran. Itulah yang mampu aku lakukan pada detik kritikal sebegitu. Dua kali azan. Kemudian lari masuk kedalam rumah. Basah. Tidak berapa lama kemudian angin dan hujan berandur reda. Lega. Alhamdulillah!

Kejadian itu mengingatkan peristiwa Tsunami yang baru saja melanda Jepun....yang pernah melanda Acheh....apakah ini antara tanda-tanda yang Engkau hantar untuk memberi ingatan ?

Sunday, March 27, 2011

Farhana dan result SPM 2010


23/3/2011. Result SPM diumumkan.


Bersama Halijah dan Farhana ke SMKAK. Agak lewat juga pihak sekolah nak buat pengumuman. Biasalah tu sebab ada hal-hal teknikal yang perlu di analisa.


11.00 pagi lebih-kurang. Majlis dimulakan. Pengetua Puan Hajjah Salmah Ishak membuat taklimat ringkas. Teruja juga bila beliau sebutkan bahawa SMKAK berjaya memperlihatkan prestasi cemerlang bagi SPM 2010.


Pointer sekolah telah berjaya dinaikkan dari 3.xx kepada 2.88. Satu peningkatan yang membanggakan dalam masa lima tahun terakhir. 3 orang straight A dicampur dengan semua calon yang mendapat 7A hingga 11 A menjadikan 41 orang.


Pihak sekolah membuat majlis khas penyampaian sijil keputusan di atas pentas bagi calon berjumlah 41 orang tersebut. Harapan tinggi untuk anakku Farhana mendapat calon istimewa dalam SPM 2010 tidaklah begitu mendesak. Melihat kepada trial exam hari tu pun dia cuma mendapat 7 A something. Rasanya kalau dapat macam trial itu pun dah lebih dari mencukupi. 5A atau 6A pun sudah terasa hebatnya.


Maklum sajalah Farhana – nak diharapkan baca buku dan ulangkaji (kalau kat rumah tu) janganlah diharapkan sangat. Ada saja alasan dan rengekannya. Masternya cuma online kat facebook atau apa-apa lagilah yang berkaitan dengan internet.


Calon diumumkan. 11A dan 10A naik kepentas bersama waris. Bangga. Ada yang masih mengesat airmata. Halijah berbisik,”macamanalah anak kita, bang?” dalam nada suara bercampur harapan dan keluhan. Sejurus beberapa panggilan calon yang diumumkan oleh cikgu Din kaunselor SMKAK, tiba-tiba tertera nama Farhana Mohammad Sobri! Aku macam tak percaya saja. Terlopong seketika. Halijah bersuara” Farhana, bang! Farhana…anak kita bang..alhamdulillah!!” disambut dengan airmatanya yang deras. Terkejut. Ya, Alhamdulillah..kakak ni hebat rupanya!! Aku lontarkan kata-kata itu ketika melangkah naik ke pentas bersama Farhana dan ibunya…..


9A 2B yang diperolehi menjadi beliau turut melangkah kepentas. Aku dan Halijah dengan sejuta bangga turut mengiringi. Pengetua yang bersuara lantang itu turut menyebut sewaktu menyampaikan sijil keputusan itu “ Ini adalah calon akaun terbaik 2010 yang naik kepentas…” waduh! Tak terkata lagi kembangnya.


Inilah permulaan terbaik yang kakak telah buktikan. Perjalanan masih jauh. Pandang terus kehadapan dan terus berlari untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna…