Masuk ke dalam kereta selepas keluar dari Johan Mart di Bandar Darulaman petang itu, Halijah bersuara “ Adi nak balik, nak ambil laptop…ada assingment dia nak siapkan. Dia baru jer talipon Farhana…”. Aku diam saja.
Baru sangat Mawardi pulang. Rasanya, baru dua hari lepas. Kalau dia perlu pulang pun untuk sesuatu urusan penting bukanlah menimbulkan apa-apa masalah. Arau dengan Alor Setar cuma mengambil masa tidak sampai pun satu jam.
Sampai ke rumah sudah masuk Maghrib. Bergegas untuk solat. Agak terlewat. Selepas Maghrib, Halijah mengingatkan tentang janji hendak ke sekolahnya menghantar komputer. Aku mengiyakan saja.
Dalam perjalanan ke SMKSB, Halijah beberapa kali cuba menghubungi Mawardi namun gagal. Handphone tidak diangkat. Mulutnya sesekali mengomel juga. Apa halnya dengan anak lelaki sulung tu. Sampai sudah berkali-kali dihubungi namun tiada respon. Ada kelainan rentak suaranya. Yang pastinya dia kelihatan risau dan bimbang.
Hampir dua jam juga berada dalam bilik kaunseling SMKSB. Membuat ubahsuai sambungan dan pemasangan komputer dalam bilik yang kecil itu. Sesekali terasa juga rimasnya. Tapi apa nak dikatakan; itulah lokasi harian isteriku mencari rezeki.
Pukul 11 malam lebih baru bertolak balik. Halijah cuba lagi berkali-kali menghubungi Mawardi. Masih gagal. Riak keresahan diwajahnya ketara. Gema suaranya juga berubah melontarkan rasa bimbang yang dalam.
Singgah seketika di Restoran Jalan Langgar untuk membasahi tekak dan makan ringan-ringan. Mawardi cuba dihubungi lagi. Masih tiada jawapan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Kali ini Halijah mencuba pilihan pelan talian hayat. Dia menghubungi Ehsan, kawan sebilik Ahmad Mawardi.
Keadaan semakin sukar ketika Ehsan memberitahu bahawa dia juga tidak tahu dimana Mawardi berada. Katanya, motosikal Mawardi ada dirumah sewa. Difahamkan kepadanya bahawa Mawardi ke library untuk study. Dengan siapa dia keluar?
Pertolongan Ehsan diminta untuk mencari dan bertanya khabar. Manalah tahu kawan-kawan lain boleh memberi info. Atau mungkin dia ke rumah ‘tok’ atau keluarga angkatnya yang berada tidak berapa jauh dari situ. Mungkin juga dia ke Kangar bersama kawan-kawan Rakan Muda di sana.
Kami mengambil keputusan untuk pergi ke Arau. Apatah lagi kemudiannya Ehsan yang dihubungi tetap memberikan jawapan yang tidak berubah. Teman rakan Mawardi yang dihubungi semuanya tidak tahu dimana dia berada.
Dalam rumah sewa termasuk dalam bilik air dicari – tiada. Termasuk juga keluarga angkatnya. Semua saling hubung-menghubungi namun masih gagal dikesan. Kerisauan semakin memuncak.
Terlintas pelbagai andaian dikepalaku. Tambahan lagilah isteriku. Kemana Ahmad Mawardi ni? Siapa yang membawanya keluar? Kemana dia pergi? Apa pasal handphone tidak berjawab? Tertidur kat mana-mana ke? Masih di library? Terjatuh ? Dipukul orang?…..
Masuk ke rumah. Tukar baju. Teringat laptop yang nak digunakan Mawardi, kuminta dibawa sekali. Keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Sudah tengah malam pula – 12.30 lebih kurang. Farhana dan kawannya Ira yang datang bertandang di rumah, turut serta.
Dalam kereta , masig-masing lebih banyak berdiam diri. Melayan perasaan yang bercelaru. Mungkin juga igauan yang bukan-bukan. Aku banyakkan doa dan selawat memohon bantuan dan pertolongan Allah S.W.T untuk membantu mempermudahkan situasi. Cuma Halijah yang tidak pernah putus asa cuba menghubungi sehingga kehabisan kredit! Bimbang dan resah bersandiwara dijiwa.
Sampai ke Arau. Halijah mengetuk pintu rumah sewanya. Tiada respon. Lampu masih terang melalui tingkap cermin nako dibahagian hadapan rumah. Rumah sewa disebelah-menyebelah masih bising dengan suara anak-anak muda student ITM. Masih belum tidur.
Ehsan cuba dihubungi lagi. Rupanya, dia diluar masih setia mencari sahabatnya yang hilang dan menjadi ‘misteri’ malam itu. ‘Baguih budak ni!’ Hatiku berkata-kata.
Kami menunggu saja di luar. Ada kerusi menunggu di hadapan beberapa rumah sewa di situ. Tidak berapaa lama Ehsan sampai dengan motosikalnya. Beritanya, sama saja. Mawardi tidak diketahui kemana perginya. Tidak diketahui juga apa jadi dengan dirinya.
Kawan-kawan kenalannya keluar bersalaman. Masing-masing tidak berani bersuara. Cuma menjawab sepatah dua sewaktu kami bertanya. Mereka seperti memahami perasaan kami sebagai ibubapa dalam suasana sebegitu. Sebuah kereta, masuk ke situ. Keluar bersalaman. Diam juga. Difahamkan kemudiannya bahawa dia anak somebody juga kat Perlis -kenalan Ahmad Mawardi dalam Kelab Rakan Muda.
Kami perhatikan kelibat sebuah kereta memperlahankan kelajuannya dijalan luar – berhenti seketika kemudian memecut semula. “Tu macam kereka Ika” kata Ehsan. Kemudiannya dia agak segan juga. Seperti tersilap dengan sampukan tadi.
Kami sekeluarga tahu – Ika tu ex-girlfriend Mawardi. Takkanlah Mawardi ada kat dalam kereta tu??!! Katanya dah putus hubungan! Makin bercelaru. Beberapa ketika, kereta tadi berpatah balik. Seperti cuba menutup lampu dihadapan kami dan terus berlalu. Siapa sebenarnya di dalam kereta itu dan apa tujuannya, entahlah! Kalau betul itu Ika – takkanlah tengah-tengah malam buta begitu anak dara masih diluar?
“Lagi sejam tak jumpa, kita buat report”, aku buat keputusan. Entah sedar entah tidak. Tidak menentu lagi apa yang sepatutnya dilakukan. Semua yang ada disitu tidak bersuara. Ehsan meminta diri untuk keluar sebentar. Dia memecut motosikalnya entah kemana….
1.45 pagi. Sebuah motosikal masuk dengan seorang pembonceng. “Tu, abang mak!!” jerit Farhana. Kelihatan Mawardi membonceng dibelakang. Keadaan tegang menjadi kendur secara tiba-tiba.
“Abang pi mana ni…..
abang tau dak, semua orang susah dengan abang ……” ibunya bersuara tinggi memulakan tembakan kemarahan.
“Abang pi tengok bola dengan kawan abang kat depan tu saja ….” Mawardi cuba pertahankan diri.
“ Abang tau dak orang talipon abang berpuluh kali sampai habis kredit, pasai apa tak angkat???!!!”. “ Abang tetinggai kat rumah kawan abang” jawab Mawardi antara takut dan malu.
“Abang memang tak bertanggung-jawab……………” Halijah melepaskan geram bertubi-tubi. Begitulah perangai isteriku, kalau marah tu tidak boleh bertangguh-tangguh lagi.
Teman rakan Mawardi perlahan-lahan meninggalkan tempat itu. Mungkin tidak mahu memalukan Mawardi sangat.
“Jom, kita balik” ajak Halijah dalam emosi yang bercampur. Marah, kecewa, geram. Kami berjalan kekereta. Mawardi mengekori. Entah apa-apa lagi semburan ibu pada anak sulungnya itu. “Ya lah, abang mengaku salah. Abang silap” Mawardi cuba mencari noktah.
Kami keluar meninggalkan Mawardi selepas meyerahkan laptop kepadanya. Sudah lebih pukul 2 pagi waktu itu. Dalam perjalanan pulang Mawardi menalipon ibunya, menyatakan rasa kesal atas tindakannya. Dalam suhu kepanasan yang makin menurun, Halijah lebih banyak menasihati sahaja supaya tidak berlaku lagi peristiwa semacam malam itu. Ia telah menyusahkan ramai orang!
Sampai dirumah lebih kurang jam 3 pagi. Halijah ke dapur membersihkan ikan dan ayam yang dibeli dari pasar malam Kepala Batas awal malam tadi.
Tidak tahulah pula pukul berapa mata terlelap….