Saturday, April 11, 2009

Blog baruku 2009

Sengaja aku wujudkan satu blog baru hari ini. Ada semacam satu gamitan dari dalam diriku untuk berbuat demikian. Namun aku masih lagi tercari-cari motif yang menjadi pemangkin kepada desakan untuk aku berbuat begitu.
Blog pertamaku menggunakan nama ibnu daud al-jalaini. Bunyinya yang kearaban terasa sekali semacam satu keterasingan. Di sana aku lebih fokas untuk melahirkan bicara-bicara serius, ilmiah, puitis dan artikel-artikel berkecenderungan keagamaan. Keterasingan dengan maksud kerahsiaan dalam penggunaan namaku yang seperti tidak membawa apa-apa signifikan. Terkadang terasa seperti penggunaan yang sedikit bombastik ketika melihat kekerdilan sumbanganku berbanding implikasi penggunaan nama bernilai kearaban itu dalam hakikat sebenar kedudukannya di sisi tokoh-tokoh yang dihubungkaitkan.
Walaupun aku cuba menghubungkan diriku dengan kampung daerah kelahiranku, Tok Jalai namun ia bukanlah satu budaya yang lunak atau mesra sebagaimana yang digunapakai dalam iklim kebudayaan ditanah arab dalam penggunaan nama-nama samaran atau kuniyah mereka.
Asas budaya yang berbeza melahirkan implikasi yang pastinya turut berbeza. Budaya masyarakat arab yang memberikan kredit kepada salasilah keturunan mereka begitu sebati dan berakar-umbi. Apatah lagi dengan kehebatan satu generasi dengan sifat-sifat warisan yang penuh dengan ilmu dan nilai ketaqwaan.
Daerah yang mereka wakili juga turut mencipta proksi keberkatan justeru sistem nilai dalam masyarakat itu sendiri yang sangat mengutamakan kebaikan dan kesejahteraan. Tidak hairanlah jika timbulnya tokoh-tokoh yang membawa mesej daerah atau negeri yang menjadi tempat kelahiran mereka seperti al-Ghazali, an-Nawawi, al-Bukhari dsb. Mereka dikenali dan masyhur dengan nama-nama tersebut sedangkan nama sebenar mereka seperti tidak dikenali.
Dalam budaya masyarakat Melayu di Malaysia, penggunaan nama secara mengambil sempena atau meniru budaya masyarakat arab itu tidak banyak membawa apa-apa makna. Meskipun ianya baik dan disanjungi kerana mempunyai unsur-unsur islamik namun ianya tidak betunjang dari satu sistem atau pola warisan yang hebat dan dikagumi. Taklid sebegini akhirnya akan memberikan impak yang amat longgar sekaligus tidak popular.
Tahun 2008 ditandai dengan percubaan awalku menulis blog dengan karya-karya puisi. Karya puisi itu adalah sumbangan yang kuhasilkan untuk dimuatkan dalam laman puisi maya e-sastera.com. Satu percubaan yang agak terbeban kerana terpaksa bersengkang mata dan emosi untuk menyusun bait-bait puitis.
Akhirnya penghujung tahun 2008, alhamdulillah berkat kesabaran berjaya juga aku melakukan 40 posting di dalam blogku. Sejauh mana kepuitisan hasil karyaku itu, belum pun lagi diangkat untuk diperbincangkan. Malah niatku untuk menghantar ke akhbar dan majalah juga belum lagi menjadi kenyataan sampai kini meskipun hasrat itu masih belum berkubur.
Apa yang penting, objektifku untuk menghasilkan karya dan tulisan telah menjadi kenyataan. Langkah awal yang kumulai pada tahun 2008 itu cukup memberangsangkan.
2009 yang muncul ditengah kesibukan tugasan harian pejabat merenggangkan aku dengan irama dan rentak puisi. Memanglah bukan mudah untuk melahirkan satu baris sajak sekalipun jika minda tidak terfokas dan emosi gagal memanafaatkan keindahan. Aku melakukan posting dengan beberapa artikel yang lebih simple dan santai.
Keazamanku tahun 2009 ini untuk melakukan pembacaan buku-buku secara serius dengan maksud 'mengkhatamkan'nya; seterusnya merakamkan resensi buku di blogku. Minatku terhadap buku begitu tinggi namun ternyata aku tidak dapat melakukan pembacaan dengan sebaik mungkin secara berdisiplin untuk menyelami setiap idea bagi setiap buku yang kubeli. Sekadar merujuk di sana-sini tentulah tidak banyak meninggalkan kesan kepada maksud sebenar kenapa aku harus memiliki koleksi buku-buku atau kitab-kitab itu.
Terdetik juga dengan blog baruku msobri ini, lebih banyak artikel, esei, photo, video clip dsb dapat diposting. Untuk ketenangan diriku sendiri dan sumbangan buat sesiapa juga yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman di dunia maya tanpa sempadan ini.

No comments:

Post a Comment